Monday 28 November 2016

TEKANAN EMOSI PESAKIT KANSER : BAGAIMANA MENGHADAPINYA


Kanser adalah dikategorikan sebagai penyakit kronik yang menakutkan dan mempunyai kesan fizikal dan psikologi yang serius jika tidak ditangani dengan betul.Contoh penyakit kronik lain adalah penyakit kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, sakit buah pinggang dan sebagainya. Sebenarnya tanggapan bahawa penyakit kanser adalah hukuman mati kepada pengidapnya semakin kurang relevan kerana penyakit ini boleh disembuhkan sepenuhnya jika pesakit datang dan dirawat pada peringkat awal. Malahan banyak lagi penyakit-penyakit kronik lain yang lebih memudaratkan.Penyakit kencing manis umpamanya tidak kurang bebannya jika tidak dikawal dengan baik kerana kencing manis boleh menyebabkan komplikasi kepada hampir semua organ badan dan pengidapnya boleh menderita seumur hidup. Begitu juga penyakit darah tinggi, jantung dan penyakit buah pinggang kronik yang telah membunuh berjuta-juta orang manusia setiap tahun, pengidap penyakit-penyakit ini perlu dirawat untuk selama lamanya.Seperti yang saya sebutkan tadi, pada hari ini pesakit kanser yang dirawat boleh sembuh sepenuhnya dan boleh menjalani kehidupan seperti orang lain yang normal. Malahan ramai bekas pesakit kanser yang bukan sahaja sembuh tetapi masih boleh terus menyumbang kepada kemajuan negara, kepada kebajikan dan kebaikan orang lain. Jangan jadikan mengidap kanser ini sesuatu petanda yang anda tidak mempunyai masa depan.

BAGAIMANA MENGHADAPI TEKANAN PSIKOLOGI AKIBAT DARI MENGHIDAP KANSER

Menjalani rawatan kanser tidak bermakna anda mesti melupakan keseronokan hidup. Anda masih boleh berjenaka, bergaul rapat dengan keluarga dan rakan-rakan, mengadakan hubungan seksual, melakukan aktiviti harian dan meneruskan hobi anda. Jika anda merasa ceria dan memenuhi masa lapang dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah, anda tidak akan terlalu memikirkan masalah penyakit anda dan ini adalah sesuatu yang baik untuk kesihatan anda.

Kebiasaannya, anda akan merasa bingung dan tidak tentu arah setelah mengetahui tentang penyakit dan rawatan anda. Ada harinya anda merasa yakin, penuh harapan dan boleh mengawal diri. Pada hari-hari yang lain, anda akan berperasaan sangat negatif. Anda mungkin merasa takut untuk menghadapi penyakit dan merasa tidak berdaya, takut akan kematian atau apa yang berlaku di kemudian hari. Anda mungkin merasa bimbang tentang perubahan yang akan berlaku dalam hidup anda, masalah kewangan atau samada keluarga anda boleh menghadapi situasi ini. Walaupun anda seorang yang selalunya penuh keyakinan, anda mungkin tidak dapat mengelak berperasaan muram jika terus memikirkan perkara-perkara buruk yang akan berlaku.

Walaupun anda boleh cuba menyingkirkan perasaan-perasaan yang negatif dengan cara tidak memikirkannya, adalah lebih baik jika anda belajar untuk menerimanya dan membuatkan mereka yang rapat dengan anda menerimanya juga. Jika anda berjaya menangani masalah-masalah emosi ini, anda akan mempunyai lebih keyakinan diri dan mampu membuat keputusan-keputusan penting. Sikap yang terbuka dan positif akan membuatkan anda lebih kuat dan yakin untuk menghadapi rawatan dan menahan kesan-kesan sampingannya.

Salah satu kaedah yang penting untuk menjaga diri anda dan melawan tekanan perasaan ialah dengan membenarkan orang lain membantu anda.

APAKAH YANG BOLEH ANDA LAKUKAN UNTUK MEMULIHKAN KESTABILAN EMOSI ANDA
  1. Berfikiran positif adalah satu sikap yang akan memberi anda kekuatan untuk menghadapi penyakit kanser. Sesungguhnya kematian itu adalah kepastian, tidak ada sesiapa yang terkecuali dan sesiapa pun tidak tahu bagaimana caranya mereka akan mati. Apa yang penting adalah sentiasa bersyukur dengan pemberian tuhan dan menganggap ini adalah satu ujian dan jika berupaya menghadapi ujian ini, ganjarannya tak ternilai malah lebih besar dari apa-apa saja ganjaran di dunia ini.
  2. Luahkan perasaan anda. Kebanyakan orang akan merasa lega, kurang takut dan tidak kesunyian setelah mereka meluahkan perasaan mereka. Cuba berkongsi perasaan anda dengan mereka yang mengambil berat tentang diri anda. Berbincanglah dengan keluarga, rakan-rakan, pesakit-pesakit kanser yang lain atau doktor keluarga anda bila anda merasa bersedia untuk berbuat demikian.
  3. Keluarga atau rakan-rakan anda mungkin akan merasa kekok untuk bercakap dengan anda atau menawarkan bantuan mereka. Mereka bimbang akan mengeluarkan perkataan-perkataan yang akan menyinggung perasaan anda, dan dengan itu memilih untuk berdiam diri. Hanya anda sahaja yang boleh memberitahu mereka apa yang anda mahu atau perlukan. Mungkin sukar bagi anda untuk meminta bantuan dari mereka, tetapi dengan membenarkan mereka membantu anda, anda sebenarnya membantu mereka juga.
  4. Sertai kumpulan sokongan. Berkongsi pengalaman dan berbincang dengan orang yang sedang atau telah melalui pengalaman atau kebimbangan yang sama semasa menjalani rawatan kanser mungkin boleh membantu anda menjadi lebih tabah. Anda boleh berkongsi melalui perjumpaan dan juga melalui media sosial. Terdapat banyak kumpulan sokongan yang diwujudkan di media-media sosial yang diasaskan oleh bekas pesakit kanser sendiri. Tidak ada orang lain yang lebih memahami perasaan yang dialami oleh pesakit kanser melainkan mereka-mereka yang telah mengalaminya. Salah satu kumpulan sokongan yang ditubuhkan untuk tujuan ini adalah Cancer Survivors Malaysia (CSM). Saya menggalakkan anda untuk bersama kumpulan ini.
  5. Dapatkan rujukan kepada pakar psikologi untuk membantu menghadapi masalah emosi anda jika anda rasakan perlu. Dengan cara ini anda boleh meluahkan perasaan anda kepada seorang yang professional, terutama jika anda mendapati sukar untuk meluahkannya kepada orang lain.
  6. Pelajari cara-cara untuk merehatkan diri. Contohnya: mendengar muzik atau membayangkan perkara-perkara indah dalam kehidupan anda. Teknik-teknik ini boleh dicuba sebelum, semasa atau selepas kemoterapi. Anda juga boleh mencubanya dalam kehidupan seharian.
  7. Kaedah yang terakhir tetapi paling penting adalah melalui mendekatkan diri dengan Tuhan. Bagi anda yang berugama Islam, banyakkan berdoa, membaca al-quran, sembahyang hajat dan memuhasahab diri. Kehidupan di dunia ini cuma hanya sedetik waktu dari kehidupan sebenar di akhirat yang tiada penghujungnya. Penuhilah amalan-amalan yang baik, rajin bersedekah dan membantu orang susah. Inilah masa yang terbaik untuk mengenal diri dan lebih mendekatkan diri dengan Allah. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang dan mengubah apa saja ketentuanNya.

SUMBANGAN YANG BOLEH DIBERIKAN OLEH ORANG YANG MENJADI PENJAGA PESAKIT KANSER.
Sekiranya anda yang membaca buku ini adalah salah seorang yang menjadi penjaga kepada pesakit kanser maka saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kerana anda adalah di antara manusia-manusia mulia yang sabar dan gigih membantu orang yang anda kasihi. Sumbangan anda tidak ternilai harganya. Sumbangan keluarga terdekat terhadap perawatan dan penjagaan pesakit kanser adalah tersangat penting kerana pesakit kanser ini memerlukan bukan saja sokongan fizikal tetapi lebih-lebih lagi sokongan emosi dan mental. Di dalam memberi sokongan kepada pesakit kanser, anda perlu mempunyai pengetahuan bagaimana mengendalikan pesakit ini terutamanya dari aspek sokongan moral dan emosi. Anda boleh membuat kesilapan menambah penderitaan emosi pesakit jika perbuatan dan perkataan anda tidak sesuai. Jadi anda perlu memiliki kemahiran berkomunikasi dengan pesakit kanser.

Berikut adalah beberapa tip untuk anda amalkan supaya dapat mengurangkan beban penyakit kanser yang dihadapi oleh orang tersayang.

1. SOKONGAN MENTAL DAN EMOSI
  • Pesakit sedang mengalami tekanan emosi. Bersabar terhadap karenah mereka terutamanya perubahan ‘mood’ mereka.
  • Berikan semangat dan harapan.
  • Jangan singkirkan mereka dari aktiviti sosial anda. Galakkan mereka melibatkan diri dan lakukannya bersama-sama.
  • Sentiasa bersedia untuk mendengar keluhan dan luahan perasaan mereka pada bila-bila masa.
  • Jangan menjauhkan diri atau mengelakkan diri dari menyentuh mereka. Ingat bahawa kanser tidak boleh berjangkit, sentuhan kasih sayang boleh menjadi ubat yang mujarab untuk menghilangkan keresahan dan tekanan perasaan. Selalu memeluk mereka kerana pelukan mempunyai nilai penyembuhan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
  • Temani mereka semasa menjalani rawatan jika dibenarkan.
  • Temani mereka semasa perbincangan mengenai penyakit atau rawatan.
  • Temani mereka dan ikuti aktiviti-aktiviti kumpulan sokongan.
2. SOKONGAN FIZIKAL
  • Tawarkan diri untuk menyediakan makanan yang berkhasiat untuk mereka
  • Temani mereka semasa makan. Ini boleh meningkatkan selera makan mereka.
  • Hubungi doktor jika pesakit tidak minum selama 24 jam atau tidak mengambil apa-apa makanan selama dua hingga tiga hari.
  • Bantu mereka untuk datang berjumpa dengan doktor seperti meluangkan masa menghantar mereka ke hospital.
3. LAIN-LAIN SOKONGAN
  • Jangan mengeluarkan perkataan dan melakukan perbuatan yang boleh menyakitkan hati mereka. Kasihanilah mereka dan jadikan musibah ini untuk mengeratkan lagi hubungan anda dengan mereka supaya anda tidak rasa menyesal selepas pemergian mereka sebaliknya anda berasa puas dan inilah balasan yang anda terima di dunia ini. Balasan untuk anda di akhirat tentu tak ternilai besarnya.
  • Berdoalah supaya penyakit kanser orang tersayang dapat sembuh dan jika ditakdirkan tidak dapat disembuhkan maka berdoalah supaya mereka diberi kekuatan untuk sabar dan menerima ketentuan Tuhan dengan redha.

Wednesday 23 November 2016

Kebaikan Madu Untuk Manusia


Madu adalah cairan kental yang dihasilkan oleh lebah ataupun serangga lain dari nektar bunga, menyerupai sirup terapi rasa yang dihasilkan madu lebih manis. Rasa manis tersebut hadir kerana terdapat monosakarida, glukosa dan fruktosa yang mana ketiga-tiganya juga sama memberikan rasa manis pada gula.

Sebahagian besar kandungan madu adalah gula dan jumlah Vitamin atau mineral lebih sedikit. Ada pula beberapa sebatian yang dianggap sebagai antioksida seperti Chrysin, Pinobanksin, Katalase dan Vitamin C. Kerana hanya sedikit aktiviti air membuat maikroorganisme tidak boleh berkembang dalam cecair madu.

Masyarakat kini biasanya menggunakan madu sebagai jem roti panggang atau digunakan kilang untuk membuat minuman teh rasa madu. Beberapa orang juga lebih suka minm madu langsung tanpa diolah menjadi bentuk lain kerana kandungan nutrisi di dalamnya boleh diserap secara langsung oleh tubuh.

Khasiat madu boleh dikategorikan mengikut fungsinya terhadap sistem badan kita.

Kulit, Rambut dan Mata
  • Menjadikan rambut dan mata sihat dan bersinar.
  • Membantu penglihatan supaya lebih terang dan jelas
  • Mempercepatkan proses penyembuhan kecederaan kulit apabila disapukan dan melindungi daripada jangkitan kuman.
  • Menjadikan kulit lebih sihat, halus dan kelihatan lebih muda. Lupakan saja pil-pil kecantikan, keraan tabiat pengambilan amdu boleh mencapai kesan kecnatikan secara semula jadi tanpa mendaratkan badan.
Sistem Penghadaman
  • Menguatkan sistem penghadaman dan daya tahan terhadap keracunan makanan
  • Memudahkan pergerakan usus semasa membuang air
Sistem Penafasan dan Kerongkong
  • Mujarab untuk melegakan batuk yang berpanjangan
  • Menguatkan pernafasan dan mengurangkan asma atau lelah
Tenaga Badan
  • Menguatkan badan wanita mengandung. Tidak seperti sesetengah ubat-uabtan yang tidak boleh diambil ketika mengandung, madu adalah makanan tenaga semula jadi yang sesuai untuk ibu mengandung.
  • Sumber gula alternatif yang semula jadi untuk pesakit buah pinggang dan kencing manis. Penggunaan madu berterusan boleh mengawal kandungan gula dalam darah.
  • Mengembalikan tenaga selepas kedatangan haid atau selepas cirit-birit yang berterusan.
Permakanan
  • Kaya dengan zat mineral dan gula semula jadi yang mudah dihadam 
  • Memudahkan seerapan kalsium badan
  • Pelawas semula jadi yang sesuai untuk apa jua keadaan

Thursday 17 November 2016

I.K.H.L.A.S. - Rawatan Kencing Manis

Ramai di antara pesakit kencing manis seringkali beranggapan rawatan kencing manis hanyalah bergantung pada ubat-ubatan. Ini menyebabkan mereka berasa hilang keyakinan dalam mendapatkan rawatan dan seringkali memikirkan kesan sampingan berbanding kebaikan yang bakal diperolehi. Tak kurang juga ada diantara pesakit yang merasakan diri mereka tiada peranan khusus dalam membantu mengawal serta menstabilkan bacaan gula mereka. Adakah rawatan kencing manis begitu hambar?

type-2-diabetes

Apakah matlamat rawatan kencing manis yang sebenar?
  1. Berikut adalah matlamat utama yang perlu difahami:
  2. Membebaskan pesakit daripada gejala-gejala kandungan gula yang tinggi; seperti letih, lesu, tidak bermaya, kerap rasa dahaga dan kerap kencing. Dengan kata lain, bertujuan meningkatkan kualiti hidup para pesakit.
  3. Menurunkan paras gula kepada paras yang lebih baik.
  4. Mengesan dan mencegah risiko komplikasi kencing manis.
  5. Mengawal dan mengubati komplikasi kencing manis yang sudah ada.
Namun, apakah cara untuk mencapai matlamat tersebut. Jawapannya dapat saya simpulkan dengan pengamalan I.K.H.L.A.S. IKHLAS adalah ringkasan untuk salah satu pendekatan holistik dalam merawat KENCING MANIS. Mari kita lihat satu persatu komponen I.K.H.LA.S.:

I – Ilmu dan Informasi:

‘I’ merujuk kepada ilmu dan informasi. Pendidikan dan ilmu pengetahuan merupakan perkara penting untuk para pesakit ketika melakukan saringan penyakit, apatah lagi ketika diberitahu mereka menghidapi penyakit kencing manis. Para pesakit perlu memahami terlebih dahulu apakah itu kencing manis secara terperinci. Kencing manis adalah penyakit kronik yang perlu dikawal. Jadi mereka perlu faham akan konsep ini. Ianya tidak dapat disembuhkan atau dinyahkan dari badan dalam masa yang singkat. Maklumat ini penting agar pesakit tidak tertipu dengan rawatan-rawatan yang ‘indah kabar dari rupa’, yang seringkali memaparkan janji-janji manis termasuk kaedah penurunan gula yang cepat.

Para pesakit termasuk ahli keluarga juga perlu diberitahu berkenaan sasaran tahap gula yang stabil yang perlu dicapai. Dan apakah peranan yang boleh mereka lakukan. Ini termasuklah mengenalpasti tanda-tanda kandungan gula yang tinggi serta terlalu rendah (hipoglisemia), dan gejala-gejala merbahaya yang boleh mereka alami yang memerlukan rawatan segera. Pesakit perlu faham apakah komplikasi yang boleh berlaku akibat gula yang tidak stabil ataupun terlalu tinggi. Fungsi insulin dalam mengawal metabolisma gula di dalam badan juga perlu difahami. Pesakit juga perlu tahu apakah fungsi ubat-ubatan dalam penurun tahap gula dalam darah serta cara yang efektif untuk mengambilnya.

Sebagai pengamal perubatan pula, adalah menjadi tugas kami untuk mendapatkan ‘I’ juga iaitu ilmu dan informasi yang tepat berkenaan dengan latar belakang diri para pesakit sebelum memulakan rawatan. Ini termasuklah sejarah kesihatan pesakit, tabiat pemakanan, menu utama yang diambil pesakit, rutin aktiviti harian dan juga sejarah kesihatan keluarga. Kami juga perlu menilai bacaan tekanan darah dan berat badan pesakit ketika mendapatkan rawatan. Selain itu, kami juga perlu memeriksa keadaan dan fungsi organ dalam badan pesakit pada saat pertama kali berjumpa dengan mereka. Ini termasuklah memeriksa keadaan mata, jantung, saluran darah pada tangan dan kaki berserta dengan fungsi saraf. Sampel darah pesakit juga perlu diambil bertujuan menilai tahap kesihatan dan fungsi buah pinggang, hati dan kolesterol para pesakit. Ini semua penting dalam memulakan rawatan kami termasuk dalam pemilihan ubat-ubatan yang sesuai dengan profil kesihatan pesakit secara menyeluruh.

K – Kental dan Positif:

‘K’ merujuk kepada sifat kental dan kendiri yang baik. Setiap pesakit perlulah mempunyai hati yang cekal dan kental. Mendapat kencing manis bukanlah satu pengakhiran dalam hidup, tetapi anggaplah ia sebagai cabaran yang boleh diatasi. Dapatkan sokongan bukan sahaja dari pihak pengamal perubatan, tetapi juga daripada keluarga anda. Keluarga boleh terlibat secara tidak langsung dalam rawatan pesakit dengan sama-sama mengamalkan cara hidup yang sihat, seperti menukar diet seharian di rumah dan mewujudkan hari-hari senaman sekeluarga yang tetap sebagai aktiviti mingguan keluarga. Para pesakit juga perlu bermotivasi untuk mengambil rawatan dan tidak menyalahkan keadaan dan perlu lebih menyayangi diri sendiri. Dengan berfikiran positif, hasil rawatan yang bakal diperolehi juga semakin baik.

H – Hidup yang Sihat:
‘H’ merujuk kepada hidup yang lebih sihat. Biar apapun penyakit kronik yang dihidapi, semestinya amalan cara hidup yang sihat perlu senantiasa diperaktikkan. Ianya bukan sahaja antara rawatan terawal yang berkesan sebelum memulakan rawatan ubat-ubatan, tetapi merupakan rawatan sepanjang hayat yang berkesan untuk menurunkan bacaan gula dan meningkatkan kualiti hidup. Amalan cara hidup yang sihat adalah wajib.

Antara cara hidup yang sihat termasuklah:

Pemakanan seimbang – unsur karbohidrat, protein, lemak dan fiber perlulah mengikut nilai kalori yang diperlukan seharian dan dibahagikan kepada sarapan pagi, tengah hari, petang dan malam. Elakkan daripada memakan gula ringkas seperti manisan, ais krim, minuman ringan, minuman berkordial dan juga minuman ‘3 in 1’. Jangan takut untuk mengambil unsur karbohidrat seperti nasi, tetapi ambillah dalam kuantiti yang disarankan iaitu tidak melebihi satu per empat saiz piring. Satu per empat yang lain pula perlulah mengandungi unsur protein seperti ikan yang dimasak secara panggang berbanding goreng. Manakala baki separuh daripada piring perlulah mengandungi sayur-sayuran dan unsur fiber. Sekiranya ingin memakan buah-buahan, ikutlah saiz hidangan yang disarankan dan makanlah ketika menjamah menu utama. Elakkan daripada mengambil buah-buahan tanpa makanan utama, untuk mengelakkan penigkatan gula yang cepat. Ambillah juga pemakanan yang mengandugi kadar indeks gula yang rendah (low glycaemic index), yang mana peningkatan gula di dalam darahnya adalah lebih perlahan.

Amalkan aktiviti harian yang aktif,bermula dengan aktiviti yang sederhana ringan kepada aktiviti yang lebih aktif mengikut profil kesihatan dan kemampuan pesakit. Tetapi bagi pesakit yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung atau buah pinggang yang teruk, keadaan saluran darah yang tidak stabil atau kandungan gula yang sangat tinggi, pesakit perlulah mendapatkan nasihat dan rawatan terlebih dahulu. Aktiviti aktif yang berlebihan adalah berbahaya dan tidak digalakkan bagi golongan pesakit ini. Justeru, penilaian dan pemeriksaan awal seperti melakukan penilaian keadaan jantung terlebih dahulu dan mengawal paras gula dengan ubat-ubatan adalah perlu sebelum melakukan senaman cergas.

L- Latih

‘L’ pula merujuk kepada latih iaitu mengawal dan melatih diri dengan mengawal jumlah dan jenis pemakanan yang diambil sehari, berdisiplin dalam pengambilan ubat, konsisten dalam melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya selama 150 minit seminggu dan melatih diri untuk senantiasa berfikiran positif. Pada peringkat awal, insulin juga boleh diperkenalkan kepada pesakit yang bersetuju dan bermotivasi mengamalkan insulin. Insulin bukanlah satu cara terakhir, tetapi adalah alternatif ubat-ubatan yang boleh dimulakan di peringkat awal. Latih juga bermaksud pesakit tidak cuai dalam pengambilan ubat-ubatan berjadual dan tidak lupa akan temujanji yang telah ditetapkan.

A – Awasi

‘A’ merujuk kepada – Mengawasi diri daripada penyakit-penyakit yang boleh terjadi akibat komplikasi kencing manis. Ini termasuk melakukan langkah-langkah pencegahan seperti berhenti merokok, mengelakkan minuman beralkohol, menjaga kesihatan mata, mengekalkan bacaan tekanan darah yang baik, menjaga kesihatan organ-organ dalam badan dan mengenalpasti tanda-tanda awal komplikasi penyakit kencing manis termasuk mati pucuk bagi lelaki. Sekiranya ada tanda-tanda awal, teruslah dapatkan nasihat doktor sertarawatan lanjut.

Awasi juga merujuk kepada amalan yang sihat seperti tidak mengambil bahan-bahan jamu terlarang yang boleh merosakkan kesihatan buah pinggang dan hati. Kurangkan pengambilan garam kepada satu sudu kecil sahaja sehari. Jika mengalami kegemukan, sasar penurunan berat badan sekitar 5-10% dalam masa 6 bulan dan cuba dapatkan nasihat pakar pemakanan untuk mengurangkan nilai kalori yang diambil sehari.

Awasi juga bermaksud para pesakit perlu mengikuti pemantauan pemeriksaan kesihatan yang telah disarankan oleh pihak kesihatan seperti pemeriksaan ‘elektrocardiogram’ atau ECG, iaitu pemeriksaan jantung sekurang-kurangnya setahun sekali, pemeriksaan mata terperinci sekurang-kurangnya setahun sekali, pemeriksaan imbasan paru-paru (chest x-ray) setahun sekali untuk menyaring penyakit tuberkulosis, melakukan pemeriksaan berkala pada fungsi hati dan buah pinggang sekurang-kurangnya setahun sekali (sekiranya normal) dan mengambil langkah-langkah pencegahan luka pada kaki atau ‘ulcer’ kaki.

S – Susulan.

‘S’ merujuk kepada rawatan susulan. Setiap pesakit kencing manis perlu mendapatkan rawatan susulan bersama pihak doktor, pihak pakar pemakanan (dietitian) dan pihak pengajar kencing manis (diabetic educator). Biarpun bacaan gula pesakit adalah normal dan pesakit tidak mengambil sebarang ubat-ubatan, namun pesakit masih perlu mendapatkan nasihat dan pemantauan susulan melalui temujanji dengan pihak doktor secara berkala. Ini kerana kencing manis adalah penyakit kronik dan komplikasi daripada penyakit ini dapat dicegah dengan lebih awal.

Pihak pesakit juga perlulah memberitahu pihak doktor jika ada yang ingin bercuti ke luar negara atau menunaikan haji dan umrah mahupun yang merancang untuk mengandung. Ini membolehkan pihak kesihatan menyediakan ubat yang mencukupi ketika pesakit berada di luar negara dan memberikan nasihat yang sesuai kepada pesakit termasuk sasaran bacaan gula dan pengubahsuaian ubat dalam tempoh tertentu sebelum mengandung.

Akhir kata, semoga I.K.H.L.A.S dapat membantu para pesakit memahami peranan mereka dalam mengoptimumkan rawatan kencing manis mereka serta komplikasi kencing manis dan mendapat gambaran sebenar berkenaan kawalan penyakit kencing manis.

Monday 7 November 2016

Apakah itu kanser dan tumor

Definisi kanser.
Penyakit kanser berkait rapat dengan unit-unit sel badan. Setiap masa berlaku penggantian sel-sel baru kerana proses sel tua atau kecederaan. Badan anda membuat sel yang mencukupi dan membina sel yang sama jenis. Kadang kala sel-sel baru ini membahagi tanpa henti. Sel-sel tambahan ini adalah tidak normal. Sel-sel ini akan membentuk satu tumbuhan tisu yang dipanggil tumor. Tisu tumor ini akan mengepit sel-sel normal sekitarnya dan mengambil makanan daripadanya. Tumor ini boleh menjadi kanser.


Tumor malignan atau benigna.

Tumor boleh jadi tumor benigna atau malignan. Tumor benigna masih boleh menimbulkan masalah jika tumbuh di dalam otak kawasan yang tertutup. Kanser atau tumor malignan merebak dan memusnahkan sel-sel sekitaran dan merebak jauh ke bahagian badan lain.


Barah merebak ke organ-organ lain.

Ketumbuhan malignan terdiri dari sel-sel barah. Sel-sel kanser ini akan merebak ke tempat –tempat lain menerusi aliran darah atau saluran limfa jika ia tidak dirawat.


Adakah anda tahu penyebab kanser?

Kejadian sebenar kanser sehingga kini masih tidak diketahui. 90% kanser berkait rapat dengan gaya hidup dan alam sekitaran.
Faktor-faktor risiko kanser ialah:
  • Sejarah keluarga kanser.
Jika anda mempunyai keluarga yang menghidap sebarang jenis kanser berkemungkinan besar anda lebih berisiko tinggi untuk mendapat barah.
  • Amalan pemakanan(diet).
Dianggarkan 30-40% kanser dikaitkan dengan amalan diet anda. Lemak berlebihan berkait rapat dengan kanser kolon dan barah payudara.
Kanser esofagus, kanser perut dan kanser nasofarinks mempunyai kaitan dengan pengambilan makanan yang digaramkan dan bersalai.
  • Rokok.
Kanser paru-paru dikaitkan dengan amalan merokok. 90% daripada pesakit kanser paru-paru adalah perokok.
Tar di dalam tembakau rokok juga dikaitkan dengan kanser larinks, kanser mulut, kanser farinks,kanser esofagus,kanser pundi kencing,kanser buah pinggang dan kanser serviks.
  • Tabiat seks.
Mempunyai tabiat bertukar-tukar pasangan dalam hubungan seks dan memulakan tabiat di usia muda menambah risiko kanser serviks.
  • Sirih dan tembakau
Mengunyah sirih dan tembakau mungkin menyebabkan kanser mulut.
  • Jangkitan hepatitis B.
Kanser hati mempunyai hubungan dengan jangkitan virus hepatitis B.
  • Amalan cara kerja.
Anda terdedah kepada kanser tertentu jika terdedah di persekitaran kerja yang melibatkan bahan karsinogen.

Langkah-langkah pengesanan awal kanser

Melakukan ujian saringan kanser atau lebih dikenali sebagai pengesanan awal kanser amat penting.
Rawatan segera hasil dari pengesanan awal kanser menambah peluang pesakit kanser untuk terus hidup berkualiti.


Apa yang patut anda lakukan?

9 tanda amaran awal kanser.
Anda harus peka dengan tanda-tanda ini:
  1. Batuk berterusan dan berkahak darah.
  2. Sebarang perubahan pada payudara seperti gumpalan atau bisul berpanjangan.
  3. Perubahan pada amalan membuang air besar.
  4. Pendarahan faraj selepas bersetubuh atau selepas putus haid.
  5. Leher benjol yang tidak ada sebelumnya.
  6. Suara yang garau dan berubah dari asal lebih dari dua minggu.
  7. Sakit atau ketidakselesaan di dalam perut yang berterusan.
  8. Ulser,bengkak atau tompok-tompok putih dan merah yang tidak hilang selepas rawatan.
  9. Pendarahan hidung berlebihan, hilang fungsi pendengaran dan telinga yang berdengung.
Langkah-langkah pencegahan kanser

Mengamalkan gaya hidup sihat boleh mencegah dan mengurangkan risiko kanser.
Umumnya langkah yang boleh anda lakukan ialah:
  • Pengesanan awal kanser payudara dengan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan
  • Tidak merokok
  • Kurangkan makanan berlemak dan banyakan buah-buahan dan sayuran
  • Kekalkan berat badan ideal dengan senaman tetap dan makanan yang seimbang
  • Elakkan hubungan seks rambang
  • Tidak minum alkohol secara berlebihan
  • Elakkan mengunyah sirih dan tembakau serta amalkan penjagaan mulut yang baik
  • Dapatkan imunisasi hepatitis B
Sumber : http://www.cybermedik.com/kanser-apa-itu-kanser-dan-tumor

Wednesday 2 November 2016

Info Kanser Limfoma


Terminologi lymphoma merujuk kepada kanser yang dihasilkan daripada sistem limfatik badan. Sistem limfatik termasuk noda limfa (juga dikenali sebagai kelenjar limfa), thymus, limpa, tonsil, adenoids dan sumsum tulang serta saluran yang menghubungi dipanggil limfatik atau saluran limfa. Walaupun banyak jenis kanser yang akhirnya merebak ke bahagian sistem limfa, lymphoma adalah yang paling ketara kerana ianya berasal daripada tempat tersebut.

Dalam lymphoma, sebahagian sel dalam sistem limfatik ini yang dikenali sebagai limfosit, membiak tanpa kawalan. Lymphoma yang berlainan dikategori mengikut jenis sel yang merebak dan gejala yang ditunjukkan.

15% kanser daripada kalangan kanak-kanak adalah lymphoma. Ianya jarang terdapat dikalangan kanak-kanak di bawah usia 3 tahun. Kanak-kanak lelaki lebih cenderung mendapat penyakit ini daripada kanak-kanak perempuan.
Jenis-Jenis Limfoma

Limfoma dibahagikan kepada 2 kategori, bergantung kepada bentuk sel kanser. Ianya dikenali sebagai Hodgkin's Limfoma atau penyakit Hodgkin (HL) dan non-Hodgkin Limfoma (NHL). Gabungan kedua-dua kanser ini menjadikannya penyakit kanser ke 3 di kalangan kanak-kanak.

Tanda-Tanda Limfoma
  • Noda limfa yang terletak di permukaan biasanya tidak sakit, oleh itu ia terus membesar tanpa disedari; dan
  • pembesaran thymus atau noda limfa di dada boleh menekan saluran udara menyebabkan pernafasan berbunyi, berdengkur, sesak nafas atau kesukaran pernafasan.